Monday, July 13, 2009

IJTIMAK MALAYSIA DI DADA AKHBAR

NILAI – Lautan manusia. Begitulah suasana yang boleh digambarkan apabila kira-kira 100,000 jemaah tabligh dari seluruh dunia membanjiri Kuarters Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini sempena Ijtimak Dunia 2009 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Bilangan jemaah yang hadir dijangka meningkat kerana ulama-ulama tersohor dari seluruh dunia juga akan hadir sepanjang tiga hari program tersebut.

Bagi tujuan itu, pihak penganjur telah membelanjakan RM2 juta untuk menyediakan 10 khemah besar yang setiap satu boleh menempatkan 10,000 hingga 11,000 jemaah.
Selain itu, sebanyak RM5 juta lagi diperuntukkan untuk penyediaan makanan dan minuman yang diuruskan oleh 1,500 tukang masak yang juga dari kalangan ahli tabligh sendiri.
Sumber: Harian Kosmo



Solat Jumaat Terbesar Di Negeri Sembilan

NILAI 10 Julai - Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini mencatat sejarah tersendiri apabila lebih 200,000 jemaah menunaikan solat Jumaat.

Kehadiran ratusan ribu jemaah itu merupakan sebahagian besar umat Islam dari seluruh dunia yang hadir sempena Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia yang berlangsung selama tiga hari berhampiran masjid berkenaan.

Turut sama menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi.

Mohamad dalam ucapan ringkasnya sebelum khutbah Jumaat berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran jemaah tabligh ke negeri ini yang berhimpun dengan satu entiti untuk menyebarkan syiar Islam.

''Saya bagi pihak rakyat Malaysia mengucapkan selamat datang dan terima kasih. Saya bersyukur kepada Allah kerana dapat bersama-sama jemaah Tabligh dan berharap perhimpunan ini akan dapat meneruskan dakwah Islam kepada seluruh umat.

''Malaysia sebuah negara yang aman dan mengamalkan sikap terbuka dalam soal agama. Perhimpunan ini adalah bukti bahawa kebebasan untuk berdakwah, tidak seperti negara lain yang tidak bebas untuk menjalankan penyebaran agama Islam," katanya.

Mohamad berkata, solat Jumaat yang berlangsung di sini dengan kehadiran jemaah lebih 200,000 orang merupakan terbesar di Malaysia sekali gus menunjukkan kekuatan umat Islam sejagat.

Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia ini menghimpunkan jemaah daripada China, India, Pakistan, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan sebagainya. Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di lokasi ijtimak mendapati ratusan ribu umat Islam berpusu-pusu mengerjakan solat Jumaat dan keadaan menjadi sesak apabila mereka beredar meninggal masjid untuk kembali ke khemah yang disediakan berhampiran masjid berkenaan.

Kehadiran jemaah tabligh ini juga antara lain melibatkan aktiviti keagamaan seperti perbincangan, syarahan dan pengajian ilmu.

Dalam pada itu Ali @ Ma Jian Ming, 24, seorang jemaah China dari wilayah Ninsha berkata, dia akan berada di ijtimak ini selama 10 hari dan hadir bersama-sama 200 jemaah tabligh dari negaranya. Syamsuri Tumirin, 24, jemaah dari Jawa Timur, Indonesia pula menjelaskan, perhimpunan ini mendidik dan mengajar beliau menjadi seorang muslim yang memahami ajaran Islam.
Sumber: Utusan Malaysia


Najib kunjungi ijtimak tabligh
Berita Harian
12 Julai 2009 / 19 Rejab 1430

NILAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam sempat meluangkan masa bersama 200,000 jemaah yang menghadiri Ijtimak (Perhimpunan) Tabligh Sedunia di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini yang bermula Rabu lalu.

Perdana Menteri yang tiba jam 5.10 petang terus menunaikan solat Asar di kawasan khemah terbuka bersama anggota jemaah tabligh. Beliau kemudian menyampaikan ucapan ringkas mengalu-alukan kedatangan peserta.

"Saya mengucapkan selamat datang kepada saudara-saudara semua, Semoga Allah merahmati dan menjadikan kita umat yang berjaya," katanya.

Najib Kemudian menghabiskan masa kira-kira 30 minit bermuzakarah bersama ahli syura jemaah tabligh. Antara mereka ialah Sheikh Mohamad Ali. Bagaimanapun, wartawan tidak dibenarkan memasuki khemah khas untuk tetamu kehormat.

Jurucakap jemaah tabligh, Ridzuan Mohd Sagir, berkata mereka yang turut serta dalam muzakarah itu ialah tetamu luar negara seperti Prof Abd Rahman dari India.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut sama meluangkan masa kira-kira 45 minit menghadiri perhimpunan itu, semalam.

Sebaik tiba kira-kira jam 1.30 tengah hari, beliau mendengar taklimat mengenai majlis itu sebelum menyertai solat Zuhur berjemaah bersama peserta dari 40 negara termasuk Belanda, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan India.

"Perdana Menteri bersama ahli syura tidak bercakap mengenai hal keduniaan, sebaliknya membincangkan perkara keimanan dan mendekatkan diri dengan Allah SWT," katanya.

Seorang lagi anggota jemaah tabligh yang turut menghadiri pertemuan itu, Prof Hanim Tahir, berkata Perdana Menteri turut meminta jemaah tabligh ketika berdoa di majlis penutup hari ini, mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Terdahulu, pada tengah hari semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut meluangkan masa kira-kira 45 minit bersama jemaah dari 40 negara, termasuk Belanda, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan India.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin menyifatkan perhimpunan berkenaan yang terbesar di dunia dan bersyukur kerana dapat menghadirinya serta bertemu pemimpin jemaah yang membicarakan soal cinta kepada agama, semangat ukhuwah Islamiah, bersikap sederhana dan usaha menyatukan ummah.



Ijtimak perkukuhkan dakwah Islamiah - TPM
Mingguan Malaysia
12 Julai 2009 / 19 Rejab 1430

NILAI 11 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa selama 45 minit bersama lebih 200,000 jemaah sempena Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Talbigh Sedunia yang berlangsung di sini sejak 8 Julai lalu.

Beliau yang tiba di lokasi berkenaan pada pukul 1.25 petang terlebih dahulu mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin tabligh selain diberi taklimat oleh Ahli Syura' Tabligh Malaysia, Sheikh Muhammad Sheikh Ali di khemah tetamu.

Muhyiddin kemudiannya bersama-sama pemimpin berkenaan dan ratusan ribu jemaah tabligh mengerjakan solat zuhur di pekarangan khemah yang disediakan sebelum bersalaman dengan mereka sebelum meninggalkan lokasi ijtimak berkenaan.

Ketika ditemui pemberita selepas itu Muhyiddin berkata, ia merupakan perhimpunan tabligh sedunia yang besar dan beliau hadir untuk melihat dan bersama-sama jemaah di sini.

''Saya sudah berjumpa dengan pemimpin mereka dan diberi penjelasan bahawa ijtimak ini dilangsungkan untuk membicarakan ilmu dan berkaitan agama.

''Ia juga bertujuan menzahirkan semangat perpaduan dan memperkukuhkan dakwah Islamiah. Mereka bersikap sederhana dalam banyak hal.

'Saya bersyukur dapat bersama-sama jemaah talbigh, sembahyang berjemaah dan paling penting mereka juga berusaha menyatupadukan ummah," katanya.

Tinjauan Mingguan Malaysia di lokasi ijtimak hari ini mendapati kehadiran jemaah terus meningkat dan kesemua khemah yang disediakan termasuklah untuk tujuan sembahyang dipenuhi ratusan ribu jemaah tabligh.

Sebahagian besar daripada mereka yang ditemui memberitahu, terpaksa menyewa hotel-hotel berdekatan kerana lokasi sedia ada tidak lagi mampu menampung kebanjiran ratusan ribu jemaah dari seluruh pelosok dunia.

*Semoga hidayat tersebar ke seluruh alam. insyaAllah

No comments:

Post a Comment